Wednesday 6 April 2011

aku tidak salahkan ibu bapa.


Ok, saya tidak salahkan ibu bapa.
Walaupun saya tidak pernah menjadi seorang ibu dan tidak mungkin menjadi seorang bapa, tetapi saya faham dan akur dengan harapan melangit tinggi yang dimiliki para ibu-bapa kepada anak-anak mereka. Secara fitrahnya, setiap ibu bapa, yang telah bersusah-payah melahirkan dan membesarkan dengan penuh kasih sayang pasti menginginkan yang terbaik sahaja untuk anak mereka.
Dan benih harapan ini sudah pun tertanam sejak anak-anak masih kecil lagi, dan makin bercambah apabila dewasa.
Masih terpateri kukuh di cepu minda saya, ketika saya berusia 8 tahun, ayah masuk ke bilik dan duduk di birai katil. Sambil membelai rambut saya dengan penuh kasih sayang, beliau berkata :
“Adik, ayah nak adik belajar tinggi-tinggi. Jangan fikir pasal duit atau pasal lain. Tugas adik belajar saja sampai dapat phD…ok?”
Dan saya ketika itu, hanya mengangguk walau dalam hati tertanya-tanya “phD tu apa ke benda?”
Ya, bayangkan betapa tingginya harapan seorang ayah. Beliau sudah menyimpan impian untuk melihat anaknya menggenggam phD walaupun anaknya ketika itu, untuk mengambil UPSR pun belum layak lagi!
Ah, waima ibu bapa si Nobita itu pun, sudah berangan-angan anaknya itu mesti akan menjadi seorang professor universiti, hanya kerana si Nobita sudah tahu pergi ke tandas sendiri ketika baru berumur 5 tahun.Kemungkinan bahawa anaknya itu mungkin akan mendapat markah ‘0’ atau asyik dibuli kawan-kawan sahaja langsung tidak terfikir di benak mereka.(sila rujuk doraemon isu #42 kot!:P)
Malah kakak saya sendiri, ketika melihat anaknya Anas Suffian sudah pandai bertindak balas dengan bunyi-bunyian luar sambil mengedip-ngedipkan matanya yang bulat hitam itu sudah cukup membuatkan kakak menyimpan harapan tinggi bahawa anaknya itu akan menjadi saintis suatu hari nanti, walhal bayi itu baru berusia tak sampai pun 30 hari!
Apa yang ingin saya khabarkan di sini sebenarnya adalah, betapa ibu bapa ini, atas sifat kasih dan sayang yang menebal dan cinta yang mendalam terhadap anaknya, maka sudah menyimpan harapan yang ke-langit-tujuh tingginya kepada anak-anak masing-masing.
Mereka menginginkan kita berjaya.
Mereka mengimpikan kita bahagia.
Kebahagiaan kita adalah kebahagiaan mereka.
Kejayaan kita adalah kejayaan mereka.
Akan tetapi! (jeng…jeng…jeng…)
bagaimanakah  jika definisi ‘berjaya’ dan ‘bahagia’ ibu bapa itu adalah sangat jauh berbeza dengan definisi yang dimiliki anak-anak mereka?
Ok, bersambung lagi. Lapar nak pergi cari nasi jap.