Tuesday 5 April 2011

setiap saat ku ingatkan

Apabila nanti tiba masa kita melihat mereka yang hendak menanam kita ~ Picture by OrangUfan of Deviant Art

Kebelakangan ini, otak saya asyik memikirkan mati.

Sudah hampir ajal kah? Saya tak pernah percaya banyak mengingati mati itu tanda sudah hampir ajal. Sebab mengingati mati adalah digalakkan oleh Rasulullah SAW. Tambahan, umur adalah di dalam ilmu Allah. Cepat lambat itu urusannya.

Mengingati mati bukannya hendak mati cepat. Tetapi ia adalah persediaan.

Memikirkan kematian, membuatkan saya mendapat sesuatu.

Bukankah mati itu boleh menjadi motivasi?

Ya. Motivasi untuk diri. Juga untuk hati.

Oh kamu yang masih hidup, tidakkah kamu memerhati?



Mengingati mati, menghargai kehidupan.

Mati itu tidak mampu dijangka. Bila-bila masa sahaja diri boleh dipanggil pergi. Pagi, petang, siang, malam. Masa berjalan, memandu, tidur, hatta semasa membuang air. Tua, muda, tidak kenal usia. Bila-bila masa.

Alangkah indahnya bagi yang memahami seni dalam kematian. Halus dan tersembunyi.

Maka tidakkah orang yang memahami perkara ini, akan menghargai hari yang sedang dilalui?

Maka sekarang apa yang sedang dilakukannya?

Bila kita terpilih dibangunkan sewaktu pagi apa yang diazamkannya untuk hari baru itu? Tidakkah jiwa rasa bersyukur kerana masih diberi peluang beramal dan bertaubat? Tidakkah anda merasakan satu kelapangan apabila dibangunkan pada waktu pagi?

Bangun pagi = peluang.

Anda telah hidup berapa tahun? Berapa kali agaknya anda telah dipilih untuk bangun pagi?

Cuba anda memandang ke belakang, dan membayangkan jika salah satu dari tidur anda itu, anda tidak dipilih untuk bangun dan mencapai hari ini. Apa agaknya yang akan berlaku?

Adakah anda dapat membayangkan?

Bukankah mati itu bila-bila masa?

Tetapi anda masih hidup sampai hari ini. Melepasi hari-hari lalu.

Maka dengan apakah anda mengisi hari ini?

Kesia-siaan?

Jika anda menyedari akan hakikat kematian, pastinya hari ini tidak akan anda lepaskan.

No comments:

Post a Comment