Tuesday 22 March 2011

Kasih KeluargaKu


Tidak seorang pun yang mengingini keperitan hidup tetapi itulah yang ku lalui bersama keluargaku. Naman ku anggap itu sebuah cabaran bagi diri untuk mengharungi kehidupan seterusnya.
   Semenjak aku dilahirkan cuma secebis kasih seorang ibu. Ayahku telah lama dijemput Ilahi. 
Suka duka yang dilalui bersama ibu menjadikan aku pasrah dengan dengan kenyataan, aku tabah demi menyusuri hari-hari. Aku mengerti perasaan seorang ibu berhasrat untuk melihat anaknya berjaya malah membalas jasa kepadanya suatu hari nanti. Aku dan adik beradik disekolahkan demi untuk menerima pendidikan. Akhirnya adik beradikku dapat meneruskan pelajaran dan ada yang sudah berjawatan.
   Apa yang berlaku seterusnya, yang membuatkan aku terharu malah mengguris perasaan ibu yang bersusah payah membesarkan anaknya, abangku sulung yang telah berjawatan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan ibu. Dengan sewenangnya lupa akan tanggungjawabnya. Dia tidak menghiraukan ibu dan adik beradik yang lain.
   Sikapnya yang keras membuatkan ibu jatuh sakit. Ketika ini aku terpaksa membantu ibu untuk mendapatkan rawatan sehinggalah ibu sembuh.
   Setelah aku menamatkan pelajaran di peringkat menengah, aku berpeluang untuk melanjutkan 
pelajaran di peringkat atas. Demi hasrat ibu, aku teruskan perjuangan. Ketika ini aku terpaksa 
berpisah dengan ibu kerana aku ditempatkan di asrama.
   Mungkin dugaan dari Allah, abang Ngahku jatuh sakit. Ibu terpaksa berusaha untuk menyembuhkan penyakit abang Ngah, malangnya penyakit abang Ngah semakin kritikal dan dimasukkan ke hospital. Setelah beberapa rawatan, sakit abang Ngah tidak dapat disembuhkan kerana mempunyai kaitan dengan otak.
   Sudah jatuh ditimpa tangga, ibu pula jatuh sakit buat kali kedua. Ketika masa yang sama, aku masih menyambung pengajian di peringkat atas. Hanya dapat ku lakukan ketika itu dengan banyakkan berdoa agar penyakit ibu dan abang Ngah sembuh seperti sedia kala. Dugaan demi dugaan yang ditakdirkan Allah ke atas keluargaku... aku bersabar mungkin ada hikmah disebaliknya.
   Pada tahun 1995, inilah detik-detik malang bagiku, memilu dan meyedihkan yang tidak dapat tidak adik beradikku menerimanya dengan tabah, dengan linangan air mata aku cuba tabahkan diri ini. Aku masih ingat lagi ketika aku pulang untuk berhari raya, aku diberitahu tentang kehilangan ibu. Suasana muram dan kelam. Aku tidak tahu... Ya Allah.. apa yang berlaku, laporan polis telah dibuat. Kes pembunuhan yang melibatkan ibuku membuatkan aku terkaku, kaget dan terkasima... Inilah dugaan yang paling besar kepadaku
   Di pagi nan indah ibu selamat dikebumikan. Hanya doa dariku semoga bercucuran rahmat ke atasnya. Pemergian ibu dalam keadaan menyayatkan hati dan menjadi tanda tanya. Aku tidak sempat bertemu ibu buat saat-saat terakhir. Inilah yang membuatkan hatiku menangis. Takdir telah menyuratkan ibuku mesti pergi, takdir ini bukan kehendakku, namun aku harus redha.
   Setelah ketiadaan ibu, adik beradikku terpaksa menumpang kasih di rumah saudaraku sehingga aku menamatkan pengajian. Kasih ibu kasih sejati.. kasih saudara siapa yang tahu. Saudara yang ku harapkan untuk menumpang secebis kasih sayang, tidak sudi kami tinggal bersama mereka malahan lebih suka kami hidup bersendirian.
   Akhirnya, aku bertekad untuk menimba pengalaman. Aku tabahkan jua hati, ini adalah pendorong kepadaku. Hampir setahun aku berjuang di dalam dunia pekerjaan.
   Akhirnya, berbekalkan keputusan peperiksaan, ku fikirkan lebih cerah untuk masa depan aku tidak melepaskan peluang untuk menuntut di bumi Mesir.
   Kini sudah hampir setahun aku berada di bumi Ambia’, bumi yang penuh barakah. Ku pasakkan niat.. ku tanamkan azam.. untuk mencari keredhaan Ilahi dalam meneruskan perjuangan di persada ilmu. Ku hitung diriku betapa bertuahnya aku kerana menjadi pilihan Ilahi walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Sesungguhnya kehadiranku di sini begitu bermakna buat diriku yang kurang segala-galanya.
   Setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan padamu Ilahi kerana kekosongan jiwaku terisi dengan nur Ilahi. 

No comments:

Post a Comment